Siti Nurhaliza Dikunjungi Tetamu Diraja

KUALA LUMPUR 2 April – Semenjak melahirkan puteri sulung, Siti Aafiyah Khalid pada 19 Mac lalu, Datuk Seri Siti NUrhaliza tidak putus-putus dikunjungi tetamu daripada pelbagai peringkat yang mahu melihat secara dekat bayinya itu.

Ini termasuklah tetamu diraja, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang turut mencemar duli membuat kunjungan ke kediaman penyanyi nombor satu negara tersebut.

 

Siti Nurhaliza berkongsi kegembiraannya menerima kunjungan diraja itu menerusi laman sosial Instagramnya, satu jam lalu,

`Alhamdullillah, menjunjung kasih KDYTM Tengku Puan Pahang sudi mencemar duli menziarahi Siti Aafiyah.’

Selain Tengku Puan Pahang, sahabat baik Siti Nurhaliza dari Indonesia, selebriti popular Oki Setiana Dewi turut menziarahi penyanyi dan bayinya semalam. – UTUSAN ONLINE

Siti Aafiyah, ‘Segala Yang Baik’ Ilham Nama Puteri Siti Nurhaliza Dari Makkah

AMPANG: Akhirnya tanda tanya apakah nama Si Comel Pipi Merah permata hati Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa terjawab apabila bayi itu diberi nama Siti Aafiyah Khalid.

Pengumuman itu dibuat Siti, 39, dalam satu majlis akikah dan tahnik yang diadakan di kediaman mereka di Bukit Antarabangsa, di sini malam Ahad.

Siti dalam ucapannya berkata, nama Siti Aafiyah diperolehnya bersama suami ketika mereka mengerjakan umrah di Makkah.

“Setelah saya hamil, kami dapat ilham di Tanah Suci Makkah apabila suami sering baca satu doa pendek yang ada perkataan Aafiyah.

 

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengusap kepala Siti Aafiyah.

“Suami tanya nak tak nama Aafiyah yang membawa maksud segala yang baik,” jelas Siti.

Tambah Siti, semasa di Kuala Lumpur ketika dia sedang memikirkan nama anaknya, kebetulan dia sering menerima doa-doa yang ada menyebut Aafiyah.

Tambah Siti, dia bersyukur kerana Allah memakbulkan doanya untuk hamil selepas 11 tahun berumah tangga.

Selain itu, Siti mengucapkan syukur apabila proses kehamilan yang dilalui berjalan lancar biarpun terdapat sedikit komplikasi yang menyebabkan kehilangan banyak darah.

“Saya hilang banyak darah tapi saya kuatkan semangat dan hari ketiga saya sudah boleh berjalan. Hilang segala sakit bila nampak bayi.

 

“Saya rasa macam dalam mimpi tapi inilah impian saya. Saya bersyukur bayi dilahirkan sempurna.

“Debaran saya kini ialah dalam mendidik anak. Ini amanah dan dugaan pada kita. InsyaAllah saya ingatkan diri untuk beri yang terbaik,” ujarnya.

Dalam pada itu majlis tahnik dan akikah diadakan ia diketuai oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Penyanyi lagu Segala Perasaan ini turut memuat naik video dan foto wajah bayi sulungnya yang kini berusia tujuh hari di Instagram kira-kita pukul 7.30 petang Ahad.

Siti Nurhaliza melahirkan bayinya dengan berat 3.55 kilogram kira-kira pukul 8.17 pagi pada 19 Mac lalu di sebuah hospital swasta secara pembedahan.

Sewaktu dilahirkan bayi itu diberikan nama sementara Fatimah Az-Zahra sempena nama anakanda Nabi Muhammad.

sumber: menujukebenaran