“Manusia Macam Awak Perosak Industri” – Nabila Huda Bengang

Nabila menyelar tindakan individu yang sudah menonton Dukun secara haram di internet. Foto Instagram @kupu_kupu

PELAKON Nabila Huda berang apabila ada pengikutnya di Instagram secara sinikal memberitahu sudah menonton filem Dukun yang dimuat turun menerusi internet walaupun karya arahan Dain Said itu hanya akan menemui penonton di pawagam pada 5 April ini.

Nabila, 34, menyifatkan tindakan individu berkenaan sebagai perosak industri perfileman tempatan apabila menonton filem itu secara haram di internet.

“Manusia macam awak la perosak industri kita. Tengok secara haram. Tidak menyokong langsung dan tiada kesabaran sampai sanggup download,” tulisnya.

Komen yang ditinggalkan itu turut mengkritik filem lakonan utama Datin Umie Aida itu sebagai biasa dan dia masih menyimpan salinan dalam cakera keras (hard disk).

Nabila menerusi status Instagramnya memuat naik video treler filem berkenaan dengan kapsyen; “Anugerah aktres terbaik jatuh kepada… @umieaida9”.

 

Umie Aida pelakon utama filem Dukun.

Menyentuh perkara itu, Nabila berkata, ulasan individu berkenaan tentang Dukun berkemungkinan dia seorang yang gemarkan cerita daripada adaptasi novel yang menampilkan pelakon kacak dan cantik namun tiada jiwa ketika berlakon.

Nabila turut menyifatkan golongan seperti ini menakutkan kerana gagal menghargai dan membezakan di antara filem berkualiti atau pun sampah.

“Boleh la cerita dia? Oh, nampaknya awak memang jenis orang yang suka tengok cerita adaptasi novel, cerita yang cliche yang pelakon kacak cantik, tapi berlakon tiada jiwa.

“Generasi sekarang ni sungguh menakutkan. Tak tahu nak menghargai, membezakan yang berkualiti atau sampah,” tulisnya lagi.

Sementara itu, Nabila menerusi status berlainan memberitahu Dukun akan menjadi filem genre seram paling hebat di Malaysia dan menyifatkan Umie sebagai pelakon wanita terbaik sepanjang tahun.

 

Nabila turut menyifatkan Umie sebagai primadona.

“Tiada apa yang saya boleh cakap tentang wanita ini. She’s one and only. Idola saya. Love her so much.

“Baru betul pelakon. Tiada siapa dapat menandinginya dan percayalah filem ini akan menjadi filem genre seram yang paling hebat dalam Malaysia yang pernah wujud.

“Ini baru filem. Pelakon wanita terbaik sepanjang tahun. Hat’s off to our primadona!,” tulisnya.

Dukun yang diharamkan tayangannya pada Disember 2006, diadaptasi daripada kes pembunuhan berprofil tinggi yang membabitkan ahli politik Datuk Mazlan Idris dan Mona Fandey yang didakwa pengamal ilmu hitam.

Berikutan itu, Lembaga Penapisan Filem Negara (LPF) mengharamkan filem berkenaan kerana jalan ceritanya yang kontroversi serta menyinggung perasaan keluarga pihak terbabit.

Selain Umie yang memegang watak sebagai Diana Dahlan, Dukun turut membariskan pelakon seperti Adlin Aman Ramli, Namron, Faizal Hussein, Bront Palarae, Nadiya Nisaa, Mislina Mustafa, Soffi Jikan, Hasnul Rahmat dan Elyana.

Tags / Kata Kunci:Nabila Huda , Dukun , Umie Aida

sumber: mstar