22 Tahun Jadi Artis Bersama Lebih 200 Anugerah, Siti Aafiyah Paling Bermakna

 

1 April genap 22 tahun Siti berada dalam industri muzik dan anak merupakan anugerah terindah.

DIKURNIAKAN zuriat merupakan antara pencapaian paling bermakna buat penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza sepanjang 22 tahun terlibat dalam industri muzik tanah air.

Pengurus kepada Siti Nurhaliza iaitu Rozi Abdul Razak, berkata penyanyi kesayangan ramai itu telah menerima pelbagai penghargaan atas usaha seninya dan rezeki dikurniakan anak merupakan antara nikmat terindah.

“1 April merupakan genap 22 tahun Datuk Seri Siti Nurhaliza membenarkan kehidupannya mengiringi kerjaya sebagai public figure dengan mencapai lebih 200 anugerah di dalam dan di luar negara, memiliki lebih 30 buah album serta menjayakan lebih 40 buah konsert di dalam dan di luar negara.

 

Rozi memuat naik posting istimewa bersempena ulangtahun ke-22 penyanyi Siti Nurhaliza di dalam industri muzik.

“Siti juga bertindak sebagai duta dan jurucakap pelbagai produk dan tidak ketinggalan turut mencipta lagu dan menghasilkan lirik di dalam album sendiri serta melebarkan sayap perniagaan pakaian dan kosmetik.

“22 tahun memasuki dunia dewasa melalui kematangan dalam kerjaya dan Siti Aafiyah adalah pencapaian paling bermakna beliau kala ini,” tulisnya di laman Instagram @rozisangdewi pada Ahad.

Siti berkahwin dengan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa pada 21 Ogos 2006.

 

Siti dan Khalid bersama anak tersayang Siti Aafiyah.

Setelah 11 tahun mendirikan rumah tangga, penyanyi lagu Comel Pipi Merah ini dikurniakan bayi perempuan diberi nama Siti Aafiyah pada 19 Mac lalu.

Sementara itu, Rozi berkata Siti merupakan seorang anak seni yang sentiasa mahukan yang terbaik dan tidak pernah mengalah ketika berdepan cabaran industri.

“Di samping menjadi yang popular, beliau juga mahu menjadi yang terbaik, caranya sederhana tetapi berjalan, merancang dan menentukan peluang mana yang didahulukan, rajin dan tidak duduk di tempat yang sama kerana selesa tetapi mencerna ilham dan menggerakkan minda untuk terus kekal diterima.

 

Wajah Siti ketika menyertai Bintang HMI pada tahun 1995.

“Keseimbangan yang ada dalam sinis pandangan terhadap dunia seni, beliau memancarkan di mana permatanya digilap dengan hemah.

“Menukar segala persepsi, prejudis tentang apa yang dilakukan kerana beliau bukan sekadar menyongsong tetapi menambah baik dan mencari sisi ‘indah’ apa yang boleh diketengah dan diterjemah,” tulisnya lagi.

Bakat Siti Nurhaliza dicungkil menerusi program realiti Bintang HMI anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada tahun 1995.

 

SUmber: Mstar