“Tolong jangan tiru aksi itu,” kata Pegawai Bomba Safiq Mohamad

 

KUALA TERENGGANU: “Tolong jangan tiru aksi itu,” kata Pegawai Bomba Safiq Mohamad, 26, yang videonya menangkap seekor ular tedung selar sepanjang 4.27 meter, tular di laman sosial, hari ini.

Tenaga Pengajar Teknik Mengendalikan Haiwan Berbisa itu menitipkan pesanan demikian kepada semua kerana tidak mahu mana-mana pihak mengendalikan haiwan berbisa secara berbahaya tanpa langkah keselamatan.

Dia yang bertugas di Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur Wakaf Tapai, Marang, berkata, dia sendiri mengendalikan haiwan berkenaan tanpa alat keselamatan berdasarkan pengalamannya selama lima tahun dalam bidang berkenaan.

Video itu memaparkan keberaniannya menangkap seekor ular tedung selar yang sedang ‘beristirehat’ di bawah mesin pengimpal dekat bengkel Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Wakaf Tapai.

VIDEO: 

Ketika itu, Safiq juga tidak berpakaian seragam sekali gus menyaksikan kehebatannya menumpaskan haiwan itu dengan ‘tangan kosong’.

Mengimbas kejadian, anak muda berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu berkata, dia menerima panggilan daripada seorang tenaga pengajar di IKBN kira-kira jam 9 pagi, selepas mereka menemui sisa kulit ular di dalam bengkel terbabit.

“Saya minta mereka mengesan dulu kedudukan ular dan tidak membuat provokasi yang membolehkan reptilia itu merasa terancam.

“Beberapa minit kemudian, saya menerima gambar ular terbabit di bawah sebuah mesin pengimpal sebelum bergegas ke lokasi untuk membantu menangkapnya,

“Memandangkan hari ini, saya ada aktiviti luar akademi, jadi saya tidak mengenakan pakaian seragam bomba untuk ke lokasi.

Safiq Mohamad menunjukkan ular tedung selar sepanjang 4.27 meter yang ditangkapnya di IKBN Wakaf Tapai, Marang, pagi tadi. – Foto ihsan Safiq Mohamad

“Namun, sebenarnya tindakan seumpama itu boleh mendatangkan risiko kepada orang ramai yang tidak memiliki ilmu mengenai reptilia berbisa,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Safiq berkata, aksinya dalam video terbabit dibantu ilmu pengetahuan luas berkenaan perilaku haiwan berbisa itu.

“Walaupun dilihat seperti perkara mudah, namun untuk membawa keluar ular dari tempat istirehatnya tanpa mendatangkan kecederaan pada diri sendiri dan orang di sekeliling, memerlukan pengalaman dan teknik yang betul.

“Justeru, saya amat berharap tindakan itu tidak ditiru oleh orang ramai kerana ia boleh memberi risiko kecederaan parah, malah kehilangan nyawa jika terkena bisa,” katanya yang sudah menangkap sekurang-kurangnya 400 ular pelbagai jenis sejak lima tahun lalu.

 

 

Sumber : BH Online via bolehbro.com