Sukar Bagi Anuar Zain Untuk Menyanyi Bersama BCL, Yuka

 

Anuar Zain tidak sabar untuk menghiburkan peminat dalam konsertnya. FOTO: MUHAMAD SHAHRIL ROSLI

KUALA LUMPUR: Penyanyi Anuar Zain sukar mencari lagu sesuai untuk dinyanyikan bersama Bunga Citra Lestari (BCL) dan Yuka Karisma.

Anuar, 48, berkata dia dan dua penyanyi tersebut perlu memilih lagu mengikut kesesuaian vokal memandangkan mereka pertama kali bekerjasama.

“Memang tidak dinafikan saya, BCL dan Yuka sukar nak mencari lagu yang bersesuai untuk dinyanyikan secara trio.

 


Bunga Citra Lestari

“Ini pula kali pertama kami bekerjasama di atas satu pentas dan konsert yang besar. Lagu itu perlu mengikut kesesuaian vokal kami bertiga.

“Tidak boleh ikut suka pilih lagu sahaja. Susunan vokal antara kami bertiga kena buat dengan betul supaya persembahan pun dapat dilakukan dengan baik,” kata Anuar kepada mStar Online.

Anuar ditemui ketika sesi fotografi bagi mempromosikan konsert Anuar Zain, Bunga Citra Lestari & Yuka Karisma Live In Concert di E&O Residents, di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, adik kepada penyanyi Ziana Zain ini akan mempersembahkan lima buah lagu popularnya selain itu akan berinteraksi bersama peminat selama 30 minit di konsert tersebut.

Insya-Allah saya akan menyanyikan dalam lima buah lagu popular termasuk lagu baru. Malah, dalam masa 30 minit persembahan itu juga saya akan berinteraksi bersama peminat.

“Jadi, peminat yang hadir bukan sahaja melihat persembahan tapi mereka juga boleh bernyanyi bersama-sama dengan saya,” ujarnya.

Tiga penyanyi dengan peminat tersendiri ini akan disatukan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Konsert anjuran Kharisma Entertianment Sdn Bhd itu akan diadakan pada 28 April depan bermula pukul 8.30 selama dua jam.

Bunga Citra Lestari yang diterbangkan dari Indonesia bakal membawakan kumpulannya iaitu enam pemuzik.

Manakala Anuar Zain serta Yuka pula akan diiringi oleh lapan pemuzik tempatan, tiga penyanyi latar dengan Sze Wan sebagai Pengarah Muzik.

Tiket-tiket dijual dengan harga RM1,599 (Vip), RM1,299 (platinum), RM499 (diamond), RM399 (gold), RM299 (silver), RM199 (bronze) dan RM159 (regular).

Tiket konsert dijual sejak 19 Mac lalu di kaunter Dewan Plenari, KLCC sehingga pada 28 April 2018.

Tags / Kata Kunci:Anuar Zain

sumber: mstar