Subhanallah! Hanya Kerana Melihat Resipi Memasak Ini Dapat Menenangkan Wanita Ini Dari Kesakitan Kanser

PELBAGAI cara dilakukan pesakit yang menghidap penyakit kritikal untuk menghilangkan tekanan menghadapi dugaan itu.

Bagi Idayu Mohamad, 43, dia puas dan lega selain boleh melupakan kesakitan apabila dapat memasak atau sekadar melihat resipi masakan di Facebook (FB) yang dianggapnya antara terapi terbaik untuknya.

Pesakit kanser rahim tahap empat yang dijangka hanya boleh hidup lima tahun lagi itu adalah seorang daripada 1.1 juta ahli grup FB Masak Apa Hari Ni..(MAHN).

“Saya suka memasak. Saya belajar memasak dengan arwah nenek sejak umur 11 tahun. Arwah nenek yang membesarkan saya dan arwah adik.

“€œSaya ingat lagi pesan nenek, kita perempuan kena tahu memasak bukan saja untuk suami, malah sebagai modal kemahiran mencari rezeki sendiri.

“Jika layari MAHN, paling saya suka apabila dapat berkongsi resipi dengan pelayar FB lain,” katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Kuala Lumpur, hari ini.

‘Posting’ statusnya di FB MAHN mengenai kesulitan mengharungi kehidupan sebagai pesakit kanser menarik 18,000 komen, 2,200 perkongsian dan 65,000 ‘like’

Idayu yang mendapat bantuan Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sebanyak RM350 sebulan selain bekerja sebagai peniaga kuih di Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Salak Selatan dengan pendapatan sekitar RM20 sehari berkata, dia dapat semangat baru setiap kali melayari ‘posting’ mengenai masakan.

“Duduk dalam wad tekanan sangat, wayar kiri kanan tak boleh bergerak. Tetapi apabila saya tengok gambar atau resipi masakan, hilang rasa tekanan,” katanya.

Dia yang juga orang kurang upaya (OKU) pekak berikutan telinga kiri hilang pendengaran sepenuhnya manakala hanya 50 peratus pendengaran telinga kanan memberitahu hidupnya terasa gelap apabila disahkan menghidap kanser rahim tahap empat pada 13 Februari lalu.

Menurutnya, sudah tujuh bulan dia tidak mampu berniaga kuih sejak 23 Ogos tahun lalu apabila pengsan di dalam tandas di rumahnya di PPR Salak Selatan.

Katanya, penghujung Januari lalu, dia pitam di ruang tamu sebelum sekali lagi dikejarkan ke hospital dengan ambulans.

“Dalam tempoh itu, memang saya tidak larat dan tidak boleh jamah sebarang makanan. Pada mulanya doktor memberitahu usus saya bengkak.

“Namun selepas dirujuk kepada pakar Jabatan Obstetrik dan Ginekologi dan ujian pap smear dilakukan terhadap saya, barulah tahu saya menghidap kanser rahim tahap empat,” katanya yang kini hanya bergantung kepada susu disalurkan menerusi hidung sebab tidak boleh menjamah makanan pepejal.

Sejak ditahan di wad pada 13 Februari lalu, katanya, dia menghabiskan masa dengan beribadah selain tidak melupakan kesukaannya terhadap masakan walaupun sekadar memandang gambar.

“Doktor kata kanser seperti saya tidak boleh bedah. Saya kena jalani radioterapi dan kemoterapi.

“Harapan sangat tipis, tetapi saya kena kuat juga lawan. Saya ada tiga cahaya mata berusia antara 9 hingga 18 tahun untuk dijaga.

“Saya doakan kepada semua sahabat yang sudi bantu sama ada kenal atau tidak kenal kerana sudi hulurkan bantuan untuk saya dan anak.

“Saya doakan semoga Allah panjangkan umur, murah rezeki dan diberi kesihatan yang baik. Hanya Allah saja balas kebaikan sahabat di dunia dan akhirat.

“Kadang-kadang terkejut apabila ada pelawat menziarahi dan tidak saya kenal tiba-tiba ada di bucu katil wad menyatakan simpati, malah menghulurkan sumbangan,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian dengan menyalurkan ke akaun Public Islamic Bank milik Idayu bernombor 6823561404.

Sementara itu, pentadbir akaun FB MAHN Al Bain Mohd Roslee, 32, berkata, pihaknya terpanggil untuk mengumpul sumbangan bagi meringankan beban Idayu yang juga ahli kumpulan FB itu.

Menurutnya, hanya dalam tempoh tiga hari sejak Idayu meluahkan kesulitan dialaminya di FB MAHN, pihaknya dapat mengumpul lebih RM4,000 untuk disumbangkan kepada wanita berkenaan.

SUMBER : HMETRO ONLINE