“Orang Boleh Buat Andaian, Tapi Memang Saya Tolak Tawaran Marvel,” – Raja Ilya

Selepas hampir setahun berita mengenai pembabitan Raja Ilya dalam sebuah filem adi wira terbitan Marvel dicanangkan, akhirnya impian untuk melihat aktres tersebut dalam filem antarabangsa itu hancur berkecai. 
 
Berita itu disampaikan sendiri oleh Raja Ilya kepada Berita Harian. Menurutnya, dia terpaksa melepaskan peluang keemasan itu selepas dua minggu menjalani uji bakat untuk filem tersebut di Los Angeles. 

 


Sumber foto: Malay Mail Online

 
Aktres berusia 32 tahun itu berkata, penolakan berkenaan adalah kerana berasakan syarat-syarat yang dikenakan tidak sesuai untuknya.
 
“Saya terima dengan hati terbuka walaupun terpaksa melepaskan peluang yang amat besar ini. Saya menganggap peluang ini adalah tidak baik untuk saya. Saya tidak boleh komen lebih lanjut dan harap semua orang faham. 
 
“Orang boleh buat apa sahaja andaian, tetapi keputusan ini adalah dibuat demi kebaikan diri dan karier saya,”jelasnya. 
 
 


Sumber foto: Marvel Studios

Raja Ilya atau nama sebenarnya Raja Ramilah Begum Raja Mohamad berada di Amerika Syarikat selama dua minggu untuk menjalani sesi uji bakat selepas tiga bulan melakukan rejim senaman bagi meningkatkan stamina dan mendapatkan bentuk badan ideal.

Walapun impian bersama Marvel tidak kesampaian, Raja Ilya mengakui telah mendapat tawaran daripada syarikat produksi Hollywood lain. 
 
 


Sumber foto: Malay Mail Online

 
“ Saya teruja untuk berkongsi berita baik ini, tetapi perjanjian telah dilakukan dan mereka meminta saya untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.
 
“Saya hanya meminta peminat mendoakan yang terbaik. Saya berjanji akan kongsikan maklumat lanjut apabila tiba masanya. 
 
“Sebaik sahaja selesai pengambaran filem di sini, saya akan terbang semula ke AS untuk mulakan projek baru. Syarikat tersebut telah bersetuju untuk menunggu saya,” ujar Raja Ilya dipetik daripada Berita Harian. 
 
 
Alahai, banyak pula liku perjalanan Raja Ilya untuk terbabit dengan filem Marvel ya. Apapun, semoga Raja Ilya berjaya walau di mana jua dia berada. – CARI

 Artikel Raja Ilya yg lalu…

Raja Ilya nafi bedah plastik

RAJA Ilya. FOTO Aziah Azmee

Gara-gara menjalani pembedahan membuang ketumbuhan, ada pihak mendakwa pelakon Raja Ilya menjalani pembedahan plastik sebagai persediaan untuk beraksi dalam filem terbitan Marvel Studios di Los Angeles, Amerika Syarikat tahun depan.

Hakikatnya, kata Raja Ilya, dia melakukan pembedahan itu untuk membuang ketumbuhan di perutnya baru-baru ini.

“Saya menjalani pembedahan selepas dua tahun menderita penyakit itu.

“Alhamdulillah, pembedahan berjalan lancar dan saya hanya berada di hospital tidak sampai seminggu,” katanya.

Raja Ilya ditemui pada malam gala filem Luqman di pawagam MM Cineplex, E-Curve, Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Mengulas perkembangan projek filem terbitan Marvel Studios itu, Raja Ilya memberitahu dia giat membuat persiapan rapi terutama fizikal.

“Saya cuma ada tiga setengah bulan untuk buat semua persiapan sebelum berlepas ke sana.

“Malah, saya mengamalkan diet ketat dan rutin senaman untuk memastikan penampilan fizikal sempurna serta stamina yang tinggi ketika penggambaran nanti.

“Selain itu, saya akan melakukan pembedahan EMS (Electric Muscle Stimulation) untuk membina otot tubuh seperti dikehendaki watak,” katanya.

Bagaimanapun, kata Raja Ilya, dia juga merancang menghadiri uji bakat filem yang lain ketika berada di Los Angeles nanti.

“Saya ke Los Angeles bukan untuk projek filem terbitan Marvel Studios semata-mata tetapi turut mencari peluang lain untuk mengembangkan bakat di Hollywood.

“Saya sudah maklumkan lebih awal kepada agensi batas yang perlu dipatuhi termasuk menolak babak berbogel dalam filem,” katanya.

Mengenai projek drama dan filem baru pula, Raja Ilya terpaksa menolak banyak tawaran demi menumpukan perhatian terhadap persiapan ke Hollywood.

“Buat masa ini, fokus saya hanyalah projek filem terbitan Marvel Studios. Saya mahu berikan yang terbaik untuk filem itu,” katanya.

Watak penari tradisional cabar Raja Ilya

Hampir empat tahun menanti, akhirnya filem Luqman lakonannya bakal menjengah pawagam tanah air bermula 28 September ini.

Dalam filem arahan Dr Mahadi J Murat itu, Raja Ilya bergandingan dengan Wan Hanafi Su dan Josiah Hogan selaku teraju utama.

Menurut Raja Ilya, watak penari jelita Ayu Kencana mencabar kemampuannya dalam lakonan.

“Babak paling sukar pastinya menari tarian tradisional.

“Saya perlu berlatih selama beberapa minggu untuk menjiwai babak menari.

“Sebagai pelakon, saya sudah berusaha beri yang terbaik untuk watak Ayu Kencana,” katanya.

Raja Ilya juga tidak mahu mensia-siakan kepercayaan yang diberikan pengarah yang dikenali menerusi filem Sayang Salmah itu.

“Saya juga bertanya 10 kali kepada Dr Mahadi mengenai watak Ayu Kencana kerana wajah saya bukan Melayu.

“Namun, beliau memberitahu saya terpilih kerana bakat dan dia percaya saya mampu membawa watak ini seperti dikehendakinya,” katanya.

Mengulas kerjasamanya dengan Wan Hanafi Su, Raja Ilya berkata, itu adalah salah satu impiannya apabila menceburi dunia lakonan.

“Pada mulanya saya berasa takut untuk bekerjasama dengan pelakon senior sepertinya.

“Namun, sangkaan saya meleset kerana beliau banyak berkongsi ilmu lakonan, tidak sombong dan bagaikan bapa di lokasi penggambaran.

“Memang rasa kekok melakonkan watak isteri kepada seseorang yang hampir sebaya dengan bapa saya tetapi lama-kelamaan saya dapat menyesuaikan diri,” katanya.