Gara-gara Dituduh Ganggu Awek, Pelajar Ditendang Ala ‘FONG SAI YUK’ [VIDEO]

AKIBAT dituduh mengganggu pelajar perempuan, pelajar lelaki Tingkatan Dua dibelasah dua pelajar lain di sekolah menengah di sekitar daerah Klang, Jumaat lalu.

Berdasarkan rakaman video berdurasi 42 saat, mangsa berusia 14 tahun itu dipukul dan ditendang dua remaja lelaki sambil disaksikan beberapa individu lain.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang mahu pulang ke rumah selepas selesai sesi persekolahan dipanggil seorang pelajar lain pada 12.30 tengah hari.

PETIKAN rakaman video pelajar dibelasah dua pelajar lain di sebuah sekolah menengah di Klang.

“Mangsa yang juga pengadu kes ini kemudian diminta mengikuti pelajar itu ke kawasan belakang landskap sekolah berkenaan.

“Pengadu kemudian dipukul individu itu bersama seorang lagi pelajar lain dengan menggunakan tangan dan kaki.

“Kejadian itu dileraikan seorang pelajar yang berada di tempat kejadian,” katanya di Klang, hari ini.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan mangsa menerima rawatan pesakit luar di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

“Bagaimanapun, tiada kesan kecederaan fizikal pada badannya,” katanya.

Shamsul Amar berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai kes berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Mac 2018 @ 4:47 PM

Sumber: poksang