Adik Ini Makan Lalu Tiub.. Leher Ditebuk Untuk Bernafas..

KUALA LUMPUR: Nager syndrome atau ketiadaan rahang yang dialaminya, menyebabkan seorang kanak-kanak berusia dua tahun, Adib Rasul Dzulkarnain, terpaksa bergantung kepada penggunaan tiub yang dipasang pada leher untuk pengambilan makanan dan pernafasan sejak dilahirkan.

Susulan masalah itu, dia kini merayu bantuan orang ramai bagi menampung kos pembedahannya yang dijadualkan dibuat pada minggu depan, bagi menanam peralatan yang membentuk rahang supaya dia dapat meneruskan kehidupan yang lebih baik.

Ibunya, Noorbaizura Mohd Farid, 35, berkata pembedahan kali kedua yang dijadualkan dilakukan oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada minggu depan itu, memerlukan perbelanjaan lebih RM31,000.

Beliau berkata, menerusi pembedahan yang dijalankan sebelum ini, besi ditanamkan dalam rahang anaknya itu bagi membantu pernafasan Adib Rasul kerana saluran pernafasannya terlalu sempit sehingga sukar bernafas.

“Pembedahan pertama adalah ketika beliau berusia tujuh bulan. Beliau kini sangat aktif dan lasak seperti kanak-kanak normal namun perkembangannya terbatas terutamanya untuk bercakap.

“Sejak kecil hingga kini, dia terpaksa menerima makanan menerusi tiub dan saluran pernafasannya di leher juga menggunakan tiub.

“Saya merayu bantuan orang ramai untuk membantu kami memberi kehidupan normal kepada Adib,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Masalah kesihatan yang dihadapi anaknya itu juga Noorbaizura dari Jempol, Negeri Sembilan, terpaksa berhenti kerja sejak 2016 kerana perlu memberi tumpuan penuh kepada Adib Rasul yang juga anak kedua daripada dua beradik.

Beliau berkata, pembedahan kedua itu pernah terpaksa ditangguhkan ekoran berat badan Adib Rasul terlalu rendah, namun kini beratnya semakin stabil iaitu 9.5 kilogram.

“Doktor memberitahu pembedahan ini tidak boleh ditangguhkan lagi kerana dikhuatiri menjejaskan kesihatan Adib Rasul, justeru beliau sudah bersedia,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perubatan di Jabatan Oral dan Maxillofacial PPUM, Dr Heng Tee Lum, yang mengesahkan masalah kesihatan kanak-kanak terbabit, berkata Adib Rasul perlu menjalani pembedahan kedua supaya tidak lagi bergantung kepada alat pernafasan atau tiub.

“Pesakit ini mengalami micrognathia iaitu rahang yang kecil, justeru menerusi pembedahan distraction osteogenesis kami akan membuka rahangnya dan menanam alat yang akan membantu pertumbuhan tulang.

“Kaedah ini akan berupaya membesarkan rahang Adib Rasul,” katanya.

Orang ramai yang prihatin untuk membantu, boleh menyalurkan sumbangan kepada kanak-kanak itu melalui Tabung Kemanusiaan Media Prima NSTP menerusi nombor akaun Maybank 5141 0532 3170 dengan menulis nama pesakit di belakang cek.

Cek juga boleh dihantar kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad, Level 1, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100, Bangsar Kuala Lumpur.

Sumber: Bharian Online