Takziah.. Pelakon Hantu Kak Limah Meninggal Dunia.

PELAKON, Rab Khalid, 48, disahkan meninggal dunia 4.15 petang di Unit Penjagaan Koronari (CCU) Hospital Ampang akibat serangan jantung.

Rab atau nama sebenarnya, Khalid Shamsuri dimasukkan ke hospital berkenaan untuk rawatan lanjut sejak semalam selepas dia yang masih bujang mengadu sakit dada dan tidak sihat dengan rakan serumahnya.

Adiknya, Mohd Abbas Shamsuri, 43, ketika dihubungi berkata, semua ahli keluarga reda dengan kehilangan itu.

“Cuma, ada hasrat arwah yang tidak kesampaian iaitu kerjasama kami membuka perniagaan kafe.

“Segala urusan kafe sudah dibuat dan kami merancang membuka operasinya pada 5 Februari ini di Kelana Jaya,” katanya.

Menurut Mohd Abbas, dia juga baru berjumpa arwah abangnya minggu lalu dan mereka juga saling menghubungi setiap hari.

“Hubungan saya dan arwah abang sangat rapat. Jadi, kehilangan dia kini amat dirasai.

“Apatah lagi, perancangan kafe kami harus ditangguhkan itu saya belum fikir lagi perancangan seterusnya selepas arwah tiada,” katanya.

Mengenai urusan pengebumian, Mohd Abbas berkata Allahyarham Rab akan dikebumikan di Parit Buntar, Perak sekitar pagi esok selepas disembahyangkan di masjid kampung itu.

Ujarnya lagi, urusan mandi dan kafan jenazah dilakukan di Hospital Ampang sebelum dibawa pulang ke Parit Buntar pada malam ini.

Terdahulu, Rab dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut akibat serangan jantung kali kedua.

Pun begitu, sekitar 5 pagi tadi keadaan Rab makin kritikal dan bergantung pada alat sokongan hayat.

Rab anak kedua daripada enam beradik sangat dikenali dengan lakonan komedi bersahaja menerusi beberapa karya Mamat Khalid yang di bintangi seperti Hantu Kak Limah, Hussin, Mon & Jin Pakai Toncit, Rombongan Cik Kiah Ke Kelana Jaya dan 16 Puasa.

Allahyarham juga sangat dikenali dengan panggilan Yeh Sekupang iaitu watak dilakonkan dalam filem Rumah Pusaka Di Simpang Jalan juga arahan Mamat

 

Artikel lain..

GADIS INI TERAKAM DETIK CEMAS SECARA TIDAK SENGAJA MENGGUNAKAN GOPRO


SEORANG perenang tanpa disedari merakamkan saat-saat seorang individu lemas di sebuah air terjun terkenal di Australia.

Anneka Bading sedang merakamkan gambar dalam air menggunakan kamera GoPro miliknya di Air Terjun Mackenzie di Victoria, apabila tragedi itu berlaku di belakangnya.

Seorang lelaki Taiwan berusia 28 tahun terjatuh ke dalam air terjun tersebut selepas tergelincir, dalam kejadian pada Sabtu.

Rakaman GoPro itu merakamkan saat-saat selepas lelaki itu terjatuh ke dalam air.

Bading memberitahu The Age bahawa orang ramai mula menjerit dan menunjuk ke arah belakang di mana dia dan rakannya sedang berenang.

“Kami tidak tahu apa yang sedang berlaku, kami ingatkan ada binatang dalam air. Kami tak faham apa yang sedang berlaku dan mereka terus menjerit dan menunjuk sesuatu,” katanya.

“Seorang gadis merampas kayu GoPro saya dan cuba menggunakannya untuk menyelamatkannya. Saya kemudian melihat seseorang sedang lemas,” katanya kepada The Age.

Bading berkata orang ramai cuba membantu tetapi tekanan air dan kedalamannya menjadikannya sukar dan berbahaya.

Dia dan pengunjung lain di kawasan itu cuba menghubungi perkhidmatan kecemasan tetapi gagal kerana masalah liputan.

 

Bading kemudian berlari ke kereta dan memandu selama sepuluh minit bagi mendapatkan akses untuk membuat panggilan.

Bading memberitahu The Age bahawa kawasan itu memerlukan lebih banyak papan tanda amaran dan perkhidmatan telefon supaya orang ramai dapat meminta bantuan jika berlaku kecemasan.

Mayat lelaki itu ditemui pada keesokan harinya. Difahamkan mayatnya tersekat di bawah celah batu.

Seorang jurucakap Parks Victoria memberitahu The Age bahawa terdapat papan tanda di air terjun itu melarang orang ramai berenang.

Katanya, untuk mendapat liputan telefon bimbit di situ ‘sangat mencabar’ tetapi ia akan diusahakan.

Dalam posting di Facebook, Bading berkata kejadian itu begitu ngeri untuk dilihat.

“Jika anda tidak pandai berenang, jangan pergi dekat dengan air,” katanya.

SUMBER : MSTAR Via ngonyelngonyel

Kredit Editing: Gedebakviral
VIDEO LIPUTAN DARI LUAR NEGARA