Kesiannya! Pengawal Keselamatan Maut Cuba Selamatkan Wanita Daripada Bunuh Diri

Bukan semua orang sanggup mengambil risiko dan membahayakan diri demi keselamatan orang lain. Namun, tindakan berani pengawal keselamatan ini memang wajar untuk dipuji.

Menurut Nextshark, baru-baru ini, seorang pengawal keselamatan maut selepas cuba membantu menyelamatkan wanita daripada membunuh diri. Mangsa, Li Guowu bekerja sebagai pengawal keselamatan di Xi’an, Wilayah Shaanxi, China serta merupakan bekas askar yang berusia 43 tahun.

Tragedi yang berlaku pada 10 Disember lalu bermula ketika Li sedang membuat rondaan di tingkat bawah pusat membeli belah Century Ginwa. Pada kira-kira jam 8.40 pagi, wanita yang masih belum dikenal pasti telah terlibat dalam pertengkaran dengan seseorang.

Tidak lama kemudian, Li ternampak perempuan tersebut sedang memanjat keluar daripada tingkap di tingkat 11 bangunan tersebut.
Menurut South China Morning Post, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup, Li yang sedang menyaksikan insiden itu telah menjerit kepada wanita tersebut supaya tidak melompat keluar dari bangunan itu. Namun, wanita berkenaan tidak menghiraukannya dan terus bertindak melompat keluar. Aduhai…

Li yang melihat tindakan itu, telah bersiap sedia dengan mendepakan tangannya untuk menyambut wanita tersebut dari bawah sebagai percubaan untuk menyelamatkannya.

Malangnya, wanita itu tetap meneruskan tindakannya untuk terjun menyebabkannya menghempap badan Li. Disebabkan itu, kedua-dua mereka disahkan maut serta merta di tempat kejadian.

Li telah bekerja sebagai pengawal keselamatan selama lebih lima tahun dan mempunyai seorang isteri serta anak perempuan yang berusia enam tahun.

Isteri Li tinggal di rumah saudara buat sementara waktu ketika kejadian dan dilaporkan keluarga Li telah menerima wang sebanyak 5000 yuan iaitu kira-kira RM3100 daripada syarikat tempat Li bekerja sebagai bayaran pampasan.

Selain itu, Li juga telah mendapat anugerah kerana tindakan beraninya menyelamatkan wanita tersebut. Difahamkan pihak polis masih sedang menjalankan siasatan. Sementara itu, Li telah menerima pujian dan penghormatan terakhir daripada rakyat di China kerana keberaniannya.

Pengawal keselamatan ini memang layak terima anugerah itu di atas keberaniannya. Takziah diucapkan kepada keluarga mangsa. 

Sumber: LobakMerah