Bangunan Bursa Saham Indonesia runtuh, puluhan pekerja dipindahkan

JAKARTA: Puluhan dilaporkan terpaksa dipindahkan dari bangunan Bursa Saham Indonesia di Jakarta pada Isnin selepas sebahagian struktur bangunan terbabit dilaporkan runtuh.

Menurut laporan awal oleh Metro TV, susulan insiden itu orang ramai bertempiaran lari menyelamatkan diri.

Pengarah bursa saham terbabit, Alpino Kianjaya ketika dihubungi enggan memberikan sebarang komen.

Menurut laporan agensi berita Reuters, seorang pekerja bursa memaklumkan tingkat kedua bangunan itu runtuh dan mencederakan puluhan yang lain.

Ramai daripada mereka yang cedera telah dibawa ke hospital menggunakan ambulans.

“Tingkat dua bangunan telah runtuh,” maklum Vindy, seorang pembantu peribadi kepada Pengarah Presiden bursa saham, Tito Sulistio yang berada di dalam bangunan ketika kejadian.

Ketika kejadian, bursa sedang berhenti rehat dan dibuka semula sekitar 1.30 petang.

Beberapa gambar yang disebarkan di media sosial memaparkan imej struktur logam bangunan terbabit yang terletak berhampiran kedai kopi Starbuck, runtuh.

Polis Jakarta berkata pihaknya sedang mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian itu.

Sementara wakil Bernama di Jakarta melaporkan lantai tingkat satu menara II Gedung Bursa Efek Indonesia (BEI) itu runtuh menyebabkan puluhan orang ramai dan pekerja yang berada di lobi gedung itu cedera dalam kejadian kira-kira 12.20 tengah hari.

Kejadian lantai runtuh di BEI yang terletak di Jalan Jenderal Sudirman, Senayan, Jakarta Pusat, itu menyebabkan beberapa mangsa terjatuh ke ruang lobi gedung berkenaan.

Ketua Perhubungan Umum Polis Metro Jaya, Raden Prabowo Argo Yuwono berkata punca kejadian itu masih disiasat, dan menolak kemungkinan disebabkan perbuatan pengganas atau letupan bom.
Video Player

“Lantai itu runtuh dan menimpa orang ramai di lobi gedung, semua mangsa telah dibawa ke hospital dan klinik berdekatan,” katanya.

Raden Prabowo Argo Yuwono berkata jumlah dan mangsa yang cedera juga sedang dikenal pasti.

Sumber : AstroAwani